KOMUNIKASI DAN PERSEPSI HUBUNGAN ETNIK DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Berasaskan Teori Contact Hypothesis, tinjauan ini dijalankan dengan objektif berikut: (1) mengenalpasti persepsi terhadap iklim hubungan etnik dan pola komunikasi merentas etnik dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia, dan (2) mengenalpasti perkaitan antara persepsi terhadap iklim hubungan etnik dengan kekerapan berinteraksi merentas etnik. Teori Contact Hypothesis menyarankan faktor persekitaran komunikasi (dalam kajian ini persepsi terhadap iklim hubungan etnik) merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi komunikasi merentas etnik. Namun, bukti empirikal tempatan tentang perkaitan ini adalah kurang. Seramai 360 pelajar dari tiga kolej kediaman di Universiti Putra Malaysia telah terlibat dalam kajian ini. Data kajian dikumpulkan menggunakan borang soalselidik tadbir sendiri. Dapatan kajian menunjukkan secara relatifnya majoriti responden sama ada etnik Melayu, Cina dan India mempersepsikan positif tentang iklim hubungan etnik di negara ini dan di kampus di universiti yang dikaji. Sungguhpun demikian, majoriti tidak terlibat secara meluas dan mendalam dalam interaksi merentas etnik di kampus terutamanya responden Melayu. Interaksi mereka kebanyakkanya berkisar sekitar hal akademik. Kekerapan interaksi merentas etnik didapati mempunyai perkaitan positif yang signifikan dengan persepsi terhadap iklim hubungan etnik. Mereka yang mempersepsikan iklim hubungan etnik secara positif lebih kerap terlibat dalam interaksi merentas etnik di kampus. Perkaitan positif ini wujud bagi responden Melayu, Cina dan juga India. Perkaitan ini didapati lebih kuat dalam kalangan pelajar wanita berbanding pelajar lelaki. Pihak universiti perlu memastikan persepsi positif terhadap iklim hubungan etnik ini bukan sahaja dikekalkan tetapi dimantapkan kerana ia mempunyai implikasi ke atas sejauhmana pelajar terlibat dalam komunikasi merentas etnik di kampus. Kedua-dua faktor persepsi positif terhadap iklim hubungan etnik dan kekerapan komunikasi merentas etnik yang berkualiti penting dalam kerangka perpaduan dan keharmonian etnik.

Kata Kunci: Komunikasi Merentas Etnik, Iklim Hubungan Etnik, Persekitaran Komunikasi, Etnik Melayu,Cina dan India.

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH