jata kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
A- A A+
A  A Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq2 hubungi maklumbalas peta

BELIA menjadi golongan terbesar menerima kesan pandemik COVID-19 kerana mereka berusia antara 15 hingga 40 tahun menyumbang 46.8 peratus atau 15.25 juta daripada jumlah penduduk negara ini pada 2019.

Berdasarkan tinjauan dalam talian Institut Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) membabitkan 1,491 belia terhadap Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan kesediaan menghadapi cabaran pasca-COVID-19, 83 peratus menyatakan terkesan sepanjang tempoh COVID-19.

Norma baharu pembelajaran dalam talian di insitusi pendidikan tinggi menjadi kaedah pembelajaran baharu, begitu juga bekerja dari rumah (BDR).

CE Usahawan belia pula menghadapi situasi perniagaan nyawa-nyawa ikan dan ada gulung tikar. Media melaporkan syarikat gergasi mengurangkan pekerja dan tiada pengambilan pekerja baharu.

Pada masa sama, bilangan individu akan muflis meningkat, manakala pelbagai isu ekonomi menjadi topik hangat masyarakat.

Kegusaran belia pernah dibawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian, sekali gus kumpulan ini dikenali sebagai 'belia resah.'

Usahawan belia menjadi tumpuan di bawah '5 Belia Resah' dan banyak inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dibekalkan kepada mereka.

Kesan dihadapi usahawan ialah kurang menerima permintaan pasaran, terpaksa mengehadkan tempoh perniagaan dan tidak dibenarkan berniaga kerana tersenarai dalam aktiviti larangan kerajaan, menutup perniagaan, mengurangkan saiz pekerja dan memotong gaji pekerja.

Usahawan memilih beralih ke sektor baharu sebagai langkah persediaan dan pencegahan mengelakkan kerugian serta memilih perniagaan mempunyai permintaan tinggi seperti sektor penginapan, perkhidmatan makanan minuman, pertanian, perhutanan dan perikanan.

Menerusi inisiatif PENJANA, banyak peluang \boleh diambil belia tetapi ia lebih menumpukan golongan usahawan berbanding individu.

Inisiatif yang menjadi pilihan utama belia ialah Shop Malaysia Online, pengambilan pekerja dan bantuan latihan, menaik taraf portal perkhidmatan pekerjaan negara dan kempen beli barangan buatan Malaysia.

Keperluan belia pula ialah pengekalan pekerjaan, peluang pekerjaan, bantuan kewangan dan aspek kesihatan.

Pandemik menjejaskan ekonomi negara dan dunia, sekali gus ramai kehilangan pekerjaan serta peralihan pekerjaan.

Berdasarkan Laporan Tenaga Buruh Malaysia Ogos 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, penganggur belia berumur 15 hingga 30 tahun pada 2020 seramai 581,700 orang dengan kadar pengangguran 9.7 peratus.

Pada Julai lalu, penganggur belia menurun kepada 544,500 orang tetapi kadar pengangguran kekal. Pada Ogos pula, penganggur belia mencatatkan 502,300 orang dengan kadar pengangguran 8.9 peratus.

Trend penurunan pada Ogos disokong pelbagai faktor, antaranya banyak perniagaan beroperasi bermula 10 Jun selaras fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kebenaran merentas negeri merancakkan pelancongan domestik dan kesan positif pelbagai inisiatif kerajaan.

PENJANA memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran bagi mereka yang menganggur dan belia.

KBS memperkenalkan Program Skim Perantisan Nasional (SPN), program tawaran baharu Kolaborasi Rentas Kementerian bagi memberi pengalaman bekerja oleh syarikat atau organisasi terbabit dan membantu melonjakkan kebolehpasaran belia.

Program ini menyediakan sistem sokongan dengan memberi pengalaman pekerjaan kepada belia, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran belia dalam dunia pekerjaan sebenar melalui latihan soft-skills dan on the job training serta membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Dalam menghadapi cabaran pandemik, tahap kualiti kesejahteraan hidup dan jaminan masa depan terjejas. Menerusi tinjauan ini, tahap kepuasan kehidupan belia secara keseluruhan skor berada pada tahap sederhana atau dengan bacaan skor 61.16.

Tahap kepuasan jaminan masa depan pada skor 54.18 atau kurang memuaskan. Ini menunjukkan mereka bimbang jaminan masa depan walaupun pelbagai langkah persediaan diambil.

Sekiranya perkara ini tidak diuruskan baik, dikhuatiri ia boleh memberi kesan negatif seperti masalah kesihatan dan sosial.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada 5 Belia Resah dalam menyediakan inisiatif Pelan Rangsangan Ekonomi 2020 dan Belanjawan Negara 2021 agar dapat membantu seramai mungkin golongan belia memperoleh peluang pekerjaan baharu dan pengekalan pekerjaan sedia ada.

Kerajaan juga disarankan menyediakan latihan dan menggalakkan lebih ramai belia menerokai bidang baharu yang menjadi keperluan masa hadapan dan memastikan ia dapat diceburi semua lapisan belia.

Kerajaan juga disarankan membantu usahawan belia dengan menyediakan latihan dan bantuan perniagaan bagi melonjakkan ekonomi belia secara bersasar berdasarkan sektor pilihan dan sesuai dengan situasi pandemik.

Melalui inisiatif itu, ia pasti dapat membantu kelangsungan hidup dalam menghadapi pandemik ini dan meningkatkan kesejahteraan hidup belia.

Bagaimanapun, semua inisiatif tidak akan berjaya sekiranya golongan belia tidak memanfaatkan peluang. Oleh itu, belia digesa bangkit dan merebut peluang serta memanfaatkan secara optimum bagi menentukan hala tuju masa depan lebih baik.

Penulis :
Nur Diyana Nadirah Mohd Hadi, Eksekutif Penyelidik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Mohd Rizal Mohd Sham, Eksekutif Penyelidik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)

Sumber : Berita Harian Online
Pautan : https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/11/752415/syor-kerajaan-bantu-usahawan-belia-terjejas