jata kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
A- A A+
A  A Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq2 hubungi maklumbalas peta

20200921 WIS

CYBERJAYA, 10 September 2020: Buat julung kalinya, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Women in Sports Symposium pada 10 September 2020 di RekaScape Cyberjaya bagi mengangkat aspirasi pemerkasaan wanita dalam sukan di Malaysia. Simposium ini merupakan inisiatif KBS melalui Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2020-2025 di bawah strategi 4 iaitu Penyelidikan dan Pembangunan.

Seramai 224 peserta telah menghadiri Simposium ini yang mewakili pelbagai Kementerian, Agensi Kerajaan, Swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Sukan, Sekolah, Institusi Pengajian Tinggi dan orang perseorangan. Daripada jumlah tersebut, 144 orang mengikuti secara atas talian melalui aplikasi Zoom Webinar manakala 80 lagi hadir secara fizikal di RekaScape Cyberjaya.

Tiga objektif utama penganjuran simposium ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penglibatan wanita dalam sukan; menentukan tindakan mengikut keutamaan bagi mempromosikan penglibatan wanita dalam sukan; dan menyediakan platform kepada wanita bagi membincangkan peranan mereka dalam sukan.

Sesi perkongsian pertama, Breaking Stereotypes, telah mengupas isu stereotaip masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam sukan tertentu yang kebiasaannya disertai oleh golongan lelaki. Isu ini dibincangkan dalam bentuk forum oleh Dina Bernardo, bekas Kapten National Dragon Boat Team Filipina; Nor 'Phoenix' Diana, Pro Wrestler Malaysia; dan Nurul Huda Abdullah, bekas perenang negara.

Sesi perkongsian kedua bertemakan Women on Tracks membincangkan peranan wanita sebagai pemangkin ke arah gaya hidup yang aktif dan sihat melalui penglibatan dalam sukan sama ada di peringkat individu atau sebagai satu profesion. Sesi ini melibatkan Dr. Teoh Chin Sim, Pengarah Klinikal Pusat Perubatan Sukan dan Latihan di Hospital Khoo Teck Puat Singapura; Nurin Afiqah, tenaga pengajar Zumba dan influencer; dan Prof. Madya Dr. Farrah-Hani Imran, bekas ratu gimnas berirama negara.

Sesi perkongsian terakhir yang bertemakan Untold Stories merupakan satu sesi perkongsian inspirasi oleh empat orang atlet dan bekas atlet negara daripada pelbagai acara sukan. Mereka adalah ikon sukan bagi generasi mereka iaitu seperti atlet terjun negara, Leong Mun Yee; pemain skuasy profesional negara, Sivasangari Subramaniam; Naib Presiden Squash Racquets Association of Malaysia (SRAM), Sharon Wee dan pensyarah psikologi sukan dan eksesais Universiti Malaya, Yuhanis Adnan.

Semoga Simposium ini dapat memberi manfaat dan juga kesedaran kepada semua peserta terhadap pemerkasaan wanita dalam sukan di Malaysia. 

 

Disediakan oleh :
Cik Hamizah Sahharon
Eksekutif Komunikasi Korporat

Disemak oleh :
Dr. Jamali Samsuddin
Ketua Eksekutif Penyelidik Kanan